Sunday, January 30, 2011

Hari-hari ku semakin busy

hidup saya semakin hari semakin busy, terlampau banyak benda yang terpaksa saya korbankan semata2 kerana tuntutan kerja...Moga2 setiap apa yang dilakukan akan sentiasa dipermudahkan oleh ALLAH agar saya berjaya dalam apa jua ujian kecil yang ALLAH berikan kepada saya,,

Sunday, January 16, 2011

Hikmah di sebalik dugaan

Semenjak dua menjak ni, saya berasa terlampau banyak dugaan cabaran yang saya lalui...ada ketikanya perasaan give up tu muncul..sebab itu saya perlukan sedikit motivasi agar saya dapat melalui nya pemikiran yang waras serta bersyukur..di sini saya kumpulkan harapan ataupun motivasi kepada saya, supaya saya dapat menjalankannya dengan tabah...

ORANG yang ditimpa sesuatu bencana hendaklah tabah menghadapinya. Ia adalah ketentuan dan ujian Allah kepada umatnya. Ada banyak hikmat di sebalik sesuatu ujian atau dugaan yang diberikan Allah kepada umat manusia.
Rasulullah menerangkan dalam beberapa hadis mengenai perkara itu, antaranya:
Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti atau kesusahan mengingatkan apa yang telah berlaku hinggakan tikaman duri yang mencucuknya, melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya sebahagian daripada dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Abdullah bin Mas'ud berkata, Rasulullah bersabda: "Tidak ada seseorang Islam yang ditimpa sesuatu yang menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musimnya yang tertentu)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Anas berkata, Rasulullah bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)
Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi berkata, bahawa kedua-duanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Dia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “Apabila Aku menguji seseorang daripada hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya dia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa dia dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala kesalahan', dan Allah berfirman kepada malaikat penulis amal orang itu: “Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) ketika dia berkeadaan sihat." (Imam Ahmad)

Anas berkata, Rasulullah bersabda: "Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata: 'Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "Kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu.
Sesiapa yang menyifatkan bala bencana yang menimpanya sebagai nikmat dan menerimanya dengan reda akan mendapat balasan pahala daripada Allah, selain terhapus kekotoran dosa dan kesalahannya.

Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan..
KENAPA AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286
RASA FRUST?
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan
kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ..
-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!
"... ..dan jgnlah kamu berputus asa drp rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
-Surah Yusuf ayat 12

Friday, January 14, 2011

1 MInggu

MayBank
Tempat kerja baru ku..

Permulaan Mencabar
salam sudah seminggu lama nya saya bekerja di Auto finance Maybank PJ, saya dilantik sebagai credit marketing officer bg saya itu adalah kehidupan baru yang perlu saya tempuh dengan penuh kesabaran.. Untuk pengetahuan pembaca, Auto finance Maybank Pj ni merupakan branch terbaik di seluruh malaysia yang menjalankan segala kaitan berkait dengan urusan auto finance (hire purchase). so xyah cita pn blh tau, bahawa kerja di sini memang bertimbun2 sehingga terpaksa balik lambat..saya macam culture shock dengan keadaan sebegini..tapi sebenarnya kerja di situ sangat happening, staff n bos2 sempoi gila..terbaik!!.. Maybe saya masih tidak tahu apa yang perlu saya laku kan di situ..harap2 skit2 sy akan maju...


Harapan saya:
saya harap saya dapat hadapinya dengan penuh kesabaran, serta dapat belaja melalui senior2 yg telah berkhidmat di situ dengan cepat agar saya dapat menyukai dan membuang segala perasaan 'tak suka bekerja di situ" i hope i can overcome dis situation from time to time.. Ya ALLAH, please bless me in what ever thing i do in dis company....




Monday, January 10, 2011

Hari Pertama Di Maybank

saya blur, blank, dan banyak yang perlu di belajar lagi...Ya ALLAH lindungi la hamba mu dan permudahkan segala urusan nya, beri lah kekuatan untuk menghadapi segala cabaran dan dugaan yang akan dan bakal hambamu ni terima....

Sunday, January 9, 2011

Diriku, dirimu dan mereka

Di sini ada sedikit nasihat yang dipetik dari Imam Ibnul Qayyim di mana ia mungkin berharga untuk diriku, dirimu dan mereka! oleh itu, luangkan sedikit masa untuk memahami maksud tersurat serta tersirat petikan ini..


kunci-kebahagiaan
Jika kamu ingin tahu,
seberapa besar cinta Allah SWT kepadamu
dan kepada selainmu,
Lihatlah keadaan-keadaan berikut ini:
Lihatlah, seberapa besar intensitas cintamu
kepada Kalam-Nya dihatimu!
Lihatlah seberapa dahsyat kenikmatanmu
dan keasyikanmu tatkala mendengar
lantunan Firman-Firman-Nya
sudahkah keasyikan itu
melebihi keasyikan para pecandu musik dan nyanyian
tatkala nyanyian itu didendangkan?
Sesungguhnya wajar
jika seseorang mencintai seorang kekasih,
lalu suara dan pembicaraan kekasihnya itu
menjadi sesuatu yang sangat dicintai....

Saturday, January 8, 2011

Majlis Khatam Al-Quran Adik Sepupu


Majlis Khatam Al- Quran
alhamdu'lillah selesai sudah majlis khatam al-quran adik sepupu di rumah nenek saya di Cheras indah...Menariknya majlis khatam Al-quran ini ialah ia turut diiringi kumpulan berzanji dan marhaban dari Pantai Dalam..Kelunakan mereka dalam memperdengar setiap bacaan telah memberi satu wadah kehidupan yang baik terhadapa adik sepupu dan semua sanak saudara..setiap bacaan adik sepupu diiringi oleh kumpulan tersebut...

(Sumber gambar : Kompasiana.com)

Majlis Berzanji dan Marhaban
Setelah majlis khatam al-quran selesai, kumpulan itu juga telah mengadakan majlis berzanji dan marhaban yang bagi saya amat amat untuk dihadiri oleh semua. Mungkin di antara kita tidak pernah dengar apa itu berzanji? apa itu marhaban? tapi sedar dan percaya lah kalian pasti akan jatuh cinta terhadap alunan-alunan dalam berzanji dan marhaban itu...Banyak kebaikan yang boleh kita dapat dari situ..Saya adalah salah seorang yang tidak kenal dengan itu semua, tapi alhamdu'lillah saya menyenangi dengan majlis tersebut..saya sudah bertekad untuk belajar serta mendalami agar memberi kesenangan dan kemudahan di kemudian hari..


Majlis Tunang Ringkas
Pada sebelah petang nya juga, majlis pertunangan adik kepada mak juga telah berlangsung dlm keadaan sederhana dan teratur..mudah-mudahan setiap apa yang dirancang tadi akan menjadi..


:- alhamdu'lillah moga-moga setiap benda yang dilakukan hari ini adalah atas nama ALLAH..mudah-mudahan Allah memberi sinar kebahagiaan serta rahmat kepada keluarga saya...

Melawan Hawa Nafsu Adalah Jihad.


Semua maklum bahawa hukum berjihad adalah wajib, tetapi bagaimana kedudukannya dalam Islam? Di dalam Islam kedudukan jihad jatuh nombor tiga setelah rukun Iman dan rukun Islam.
Mengapa jihad itu dianggap besar? Setelah Rukun Iman dan Rukun Islam, jihad adalah yang paling utama, dia menjadi nombor satu, dia jadi besar. Mengapa?

Kita cuba ambil satu ayat Quran, Allah berfirman,
"Innallahastara minal mukminina anfusahum waamwalahum liannahumul jannah. "
Maksudnya, "Sesungguhnya Allah akan membeli pada diri orang-orang beriman itu dirinya dan harta-hartanya dengan balasan syurga ".

Itu tawaran Allah, karena jihad itu besar maka disuruh beli. Jihad itu ada yang lahir ada yang batin. Dari segi lahirnya jihad menentukan hidup mati Islam. Kalau ada jihad hiduplah, kalau tidak ada jihad matilah. Dari segi batin, jihad menentukan seseorang itu terbangun insaniahnya atau sebaliknya. Tidak ada jihad punahlah insaniahnya.

Jihad secara lahiriah semua sudah tahu iaitu membangun ekonomi Islam, membangun sistem hidup Islam, membangun pendidikan Islam, membangun kebudayaan Islam, membangun kesihatan Islam, berperang jika terpaksa dan lain-lain. Tetapi Rasulullah SAW sangat menekankan tentang adanya jihad yang batin, maknawi atau jihad melawan hawa nafsu. Ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? " Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

Rasulullah mengajak kita untuk meninggalkan satu peperangan, satu perjuangan atau satu jihad yang kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu. Orang yang berperang melawan nafsu ini nampak seperti duduk-duduk saja, tidaklah sesibuk orang lain, tapi sebenarnya sedang membuat kerja yang besar iaitu berjihad melawan nafsu.

Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi sangat susah. Mungkin kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan bisa kita pegang, mudahlah kita menekan dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada di dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh kita. Karena itu tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan untuk diperalat sekehendaknya.

Nafsu jahat dapat dikenal melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Dalam ilmu tasawuf, nafsu jahat dan liar itu dikatakan sifat mazmumah. Di antara sifat-sifat mazmumah itu ialah sum'ah, riya', ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, banyak bicara, banyak makan, hasad, dengki, ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, pemarah, tamak, serakah, bakhil, sombong dan lain-lain. Sifat-sifat itu melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita malas menggosok sifat itu akan semakin kuat dan menebal pada hati kita. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan kuat menggosoknya maka hati akan bersih dan jiwa akan suci.

Nafsu itulah yang lebih jahat dari syaitan. Syaitan tidak dapat mempengaruhi seseorang kalau tidak meniti di atas nafsu. Dengan kata lain, nafsu adalah 'highway' atau jalan bebas hambatan untuk syaitan. Kalau nafsu dibiarkan, akan membesar, maka semakin luaslah 'highway' syaitan. Kalaulah nafsu dapat diperangi, maka tertutuplah jalan syaitan dan tidak dapat mempengaruhi jiwa kita. Sedangkan nafsu ini sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH sangat jahat.

" Sesungguhnya hawa nafsu itu sangat membawa pada kejahatan "
(Yusuf: 53)

Dan ini dikuatkan lagi oleh sabda Rasulullah; "Musuh yang paling memusuhi kamu adalah nafsu yang ada di antara dua lambungmu ".

Nafsu inilah yang menjadi penghalang utama dan pertama, kemudian barulah syaitan dan golongan-golongan yang lain. Memerangi hawa nafsu lebih hebat daripada memerangi Yahudi dan Nasrani atau orang kafir. Sebab berperang dengan orang kafir cuma sekali-sekali.

Nafsulah penghalang yang paling jahat. Mengapa? Kalaulah musuh dalam selimut, itu mudah dan dapat kita hadapi. Tetapi nafsu adalah sebahagian dari badan kita. Tidak sempurna diri kita jika tidak ada nafsu. Ini yang disebut musuh dalam diri. Sebahagian diri kita, memusuhi kita. Ia adalah jizmullatif - tubuh yang halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala, hanya dapat dirasa oleh mata otak (akal) atau mata hati. Oleh itu tidak dapat kita buang. Sekiranya dibuang kita pasti mati.


Menaklukkan Hawa Nafsu
=

Nafsu adalah penghalang yang besar. Kalau hendak solat bukan mudah untuk mujahadah. Akhirnya terlambat solat subuh. Siapa yang membisikkan kepada kita? Itulah nafsu. Bukan mudah hendak berjuang dan berkorban. Bukan mudah hendak sabar apabila berhadapan dengan ujian. Bukan mudah untuk sabar, tidak berdendam dan membalas kejahatan musuh dengan doa dan kebaikan. Bukan mudah sebab nafsu tidak mahu. Begitu juga tidak mudah untuk menahan marah dan hendak memberi maaf orang yang berbuat salah dengan kita? Kita rasa terhina hendak memaafkan orang yang bersalah dengan kita. Lebih-lebih lagi kita yang bersalah, hendak minta maaf lebih sukar lagi. Terasa tergugat ego kita. Lebih-lebih bila ada jabatan dan pengaruh. Bukan mudah untuk ikut syariat, jika nafsu mengatakan jangan. Sebab itu barang siapa yang berjaya melawan hawa nafsu ia dianggap wira, hero atau pahlawan. Dianggap orang berani dan luar biasa. Sebab itu ada Hadis yang mengatakan;

"Tidak dianggap seseorang itu berani bila ia dapat mengalahkan musuhnya, tetapi dianggap berani, jika seseorang itu dapat melawan hawa nafsunya.

" Bukannya seperti yang terjadi hari ini, gelar "Tokoh" atau "wira" yang dikurniakan kepada seseorang, bila kita tinjau kehidupan mereka, kebanyakan mereka yang sudah dikalahkan oleh hawa nafsu. Itulah wira yang palsu. Wira yang sebenarnya wira ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya. Inilah yang dikatakan pejuang yang hakiki. Selama hawa nafsu tidak dapat diperangi selama itulah seseorang tidak akan tertuju kepada ALLAH. Tidak akan dapat benar-benar berkhidmat kepada ALLAH. Tidak akan jatuh cinta dengan ALLAH. Tidak akan memberi ketaatan yang sesungguhnya kepada ALLAH. Kalau nafsu tidak diperangi, tidak akan dapat hidup dalam kebenaran. Hidup dalam pimpinan ALLAH. Firman Allah dalam Al Qur'an maksudnya :

"Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu karena hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami. Sesungguhnya ALLAH itu beserta dengan orang yang buat baik".

Ini jaminan dari Allah. Siapa sanggup melawan hawa nafsu, Allah akan tunjukkan satu jalan hingga diberi kemenangan, diberi bantuan dan tertuju ke jalan yang benar. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah.

Ertinya mereka mendapat pembelaan dari Allah sejak di dunia. Jadi siapa saja yang sanggup melawan hawa nafsu, dia adalah rijalullah (orang Allah, keluarga Allah, kepunyaan Allah, tentera Allah) Siapa yang menjadi kepunyaan Allah atau tentera Allah, dia akan dibantu oleh Allah. Tapi selama belum menjadi tentara Allah, sebaliknya menjadi tentera manusia atau tentera syaitan, Allah akan biarkan. Kalau diberi kemenangan, atas dasar kuat, bukan atas dasar bantuan. Manakala yang lemah akan diberi kekalahan.


Jadi seseorang itu mesti sanggup melawan hawa nafsu. Kalau tidak, banyak ajaran Islam yang terabaikan, banyak perintah ALLAH yang dilalaikan. Bila tidak dapat melawan hawa nafsu, banyak larangan ALLAH yang akan terbuat. Jadi hanya dengan melakukan mujahadatunnafsi, barulah ajaran Islam itu dapat kita amalkan sungguh-sungguh dan barulah maksiat lahir dan batin dapat kita tinggalkan, karena nafsu yang sangat menghalang itu sudah tidak ada lagi. Nafsu itu sudah kita didik, sudah kita kalahkan, dan sudah menjadi tawanan kita.

Imam Al-Gazhali mengingatkan bahwa syaitan menggoda manusia di dunia ini melalui seribu cara. Dan yang paling berbahaya ialah harta dan wanita. Setan telah memasang perangkap godaannya melalui harta dan wanita. Tidak sedikit manusia yang hancur kehidupannya hanya karena memburu harta dan gagal. Banyak orang yang rosak hidupnya hanya karena mencari kesenangan dan memburu wanita.

Dalam ajaran Islam, nafsu itu bukan untuk dibunuh, melainkan untuk dijaga dan di kawal.

1 . Banyakkan berpuasa
2. Jangan melihat sesuatu yang boleh menaikkan nafsu
3. Amlakan sifat sabar dan berlapang dada,
4. Jangan berada di tempat atau situasi yang boleh membantu nafsu
5. Jangan lah makan terlalu kenyang
6. Lakukanlah amalan kebajikan seperti sedekah jariah serta belajar ilmu agama.
7 Lakukan sesuatu denagan ikhlas dan dengan bacaan Bismillah.

kita kena berani berubah, sebab itu kita perlu berjihad terhadap hawa nafsu kita sendiri..mudah-mudahan kita terlindung dari perkara-perkara yang tidak baik..Sama-samalah kita sematkan di dalam diri kita bahwa kita perlu mengawal nafsu kita supaya nafsu kita tidak menjadi buas...sekian..

Friday, January 7, 2011

Keindahan Hari Jumaat

JUMAAT

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang betapa indahnya hari jumaat..Bersama-sama lah kita renungkan dan amati tentang istimewanya hari jumaat bagi umat islam:-


Hadis Nabi SAW

“Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian mengambil wudhu dengan sempurna untuk mensucikan diri, kemudian memakaiminyak rambut dan mengemaskan dirinya, kemudian menggunakan wangian pada pakaian yang dipakainya dan keluar datang ke masjid,tidak menyakitkan antara dua orang, tidak mengganggu ketenteraman orang lain dan kemudian ia bersembahyang dan terus bersembahyang dan terus bersembahyang seberapa banyak yang dia termampu kemudian ia diam ketika imam keluar dan ketika khatib membaca khutbah; Maka orang yang buat seperti itu, Allah akan memberikan pengampunan kepadanya dari hari Jumaat ini kepada Jumaat yang akan datang.
-” (Riwayat Imam Bukhari)

“Adalah Nabi SAW itu menegah kami daripada solat pada pertengahan waktu tengahari (maksudnya ketika matahari tegak berada di atas
kepala) kecuali pada hari Jumaat.”

(Riwayat Abi Dawud dari Sahabat Abu Qatadah ra)

Kita mengetahui hari sabtu merupakan hari agung bagi kaum yahudi dan hari ahad merupakan hari pergi gereja bagi mereka yang beragama kristian.Tidakkah kita bangga kerana hari jumaat merupakan hari yang sangat istimewa kerana hari Jumaat mendapat penghargaan istimewa berbanding hari lain sehingga dalam al-Quran dinamakan satu surah iaitu al-Jumu’ah yang diturunkan di Madinah dengan 11 ayat.

“Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (al-Jumu’ah:9)

JUMAAT adalah hari paling mulia serta mempunyai beberapa fadilatnya untuk direnungi.Kitab As Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat.Antara peristiwa itu ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa; Nabi Yusuf dengan Zulaiha: Nabi Musa dengan Shafura binti Syuaib; Rasulullah saw dengan Khadijah; Rasulullah dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar serta Ali bin Abi Thalib dengan Fatimah Zahara binti Muhammad.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.

“Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu.

“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.

“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Termizi).

Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:

  • Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.

  • Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.

  • Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

  • Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.

  • Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
  • Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah
kELEBIHAN HARI JUMAAT
Imam Al-Ghazzali berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat.Pada hari itu dijadikan Adam a.s. dan pada hari Jumaatlah terjadinya kiamat.

"Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan semulia-mulia hari di sisi Allah."

Imam Al-Ghazzali menambah bahawa Kaab Al-Ahbar (seorang tabien dan ulama yahudi yang memeluk ugama islam pd zaman Saiyidina Abu Bakar) berkata burung-burung dan haiwan apabila bertemu satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan "Selamat, selamat hari yang baik".

Imam Al-Ghazzali juga berkata malam Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan disunnahkan pd mereka yg mempunyai isteri bersatu pd malam itu.


Doa Antara Dua Khutbah

Kebanyakan ulama berpendapat waktunya adalah antara dua khutbah, iaitu pd saat imam sedang duduk setelah khutbah pertama sebelum beliau bangun utuk khutbah kedua. Saat inilah saat yang paling dimustajabkan doa.


Sedekah Pada Hari Jumaat

Bersedekah membawa pahala yang besar. Ia menjauhkan bala, menjauhkan penyakit dan mendekatkan diri kepada Allah. Apalagi jika dilakukan pada hari Jumaat.


Mati Pada Malam Jumaat

Hadis nabi "Tidak seorang muslim yg mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali diselamatkan Allah daripada fitnah kubur".


Kelebihan Menunaikan Sembahyang Jumaat

Nabi bersabda "Barangsiapa yg dapat menunaikan sembahyang Jumaat maka baginya disisi Allah pahala seratus orang yg mati syahid. Dan barangsiapa meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak 3 kali tanpa darurat, maka Allah akan mengecap hatinya".Ibadah pada hari Jumaat.
Perjalan ke masjid - adalah sunnah mengambil jalan yang jauh tetapi apabila pulang sunnah ambil jalan yang dekat - Imam Al-Ghazzali.

Selawat

Sabda nabi "Banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya ia adalah hari saksi (hari Jumaat) disaksikan oleh para malaikat.

Mandi dan Pakaian
Sunnah pada hari Jumaat memakai pakaian yang bersih, baru dan berwarna putih.

Memotong Kuku

Ibn Masud berkata "Mereka yg memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan sembuhkan dia dari segala penyakit dan berikannya keselamatan.

Akhir kata sama-sama lah kita kita renung-renungkan betapa agungnya hari jumaat..segala sumber saya kumpulkan dari blogger lain serta dari pencarian dari internet..tidak salah berkongsi apa yang baik..salam..

Thursday, January 6, 2011

Kenali As-Syahid Imam Hassan al-Banna serta 10 wasiatnya

Siapa kah As Syahid Hassan Al Banna?? Jiwa raga kita boleh tersentuh apabila membaca riwayat hidup serta siri perjuangan As Syahid Hassan Al Banna ni. Di sini saya paparkan sedikit riwayat hidup nya serta 10 wasiat yang dia wariskan..sama-samalah kita mengamati serta menhayati..

Latar Belakang



Al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di Mahmudiah, dekat Iskandariah, Mesir. Ayahnya, Ahmad ibn ‘Abd ar-Rahman al-Banna, merupakan lulusan Azhar yang bekerja sebagai tukang jam, juga seorang imam dan guru al-Qur’an di masjid serta telah menghasilkan beberapa buku berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai anak sulung, al-Banna telah dididik dengan suasana keIslaman dan disemai dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya.


PENDIDIKAN AWAL

Semasa al-Banna kecil, beliau telah diharapkan oleh ayahnya agar menjadi seorang hafiz al-Quran. Al-Banna telah dihantar kepada seorang guru bernama Syaikh Muhammad Zahran yang mempunyai ilmu yang luas dan dalam, bertaqwa serta sangat berwibawa. Cara didikan Syeikh Zahran adalah sangat keras, sehinggakan para pelajarnya, termasuk al-Banna yang masih kecil merasa terbeban dengan hafalan, membaca dan menelaah kitab-kitab, yang faedahnya hanya dapat dirasakan oleh al-Bannasetelah beliau dewasa.

Setelah Syeikh Zahran semakin sibuk dengan da’wahnya, sehingga tiada kesempatan untuk terus menjadi guru di sekolah ad-Diniyah ar-Rasyad, ayah al-Banna memindahkan al-Banna ke Madrasah Idadiyah, sambil tetap menyuruh al-Banna menghafal al-Quran di rumah. Pada ketika itu, al-Bannasudah pun menghafal separuh al-Quran.

PERSATUAN AKHLAK MULIA

Minat dan keaktifan Hasan Al-Banna dalam berorganisasi sudah kelihatan sejak dia belajar di madrasah tersebut. Di madrasah itu, al-Banna membentuk organisasi Persatuan Akhlak Mulia (PAM), atas cadangan salah seorang gurunya, yang bertujuan untuk menegakkan akhlak mulia di lingkungan madrasah. Undang-undang pun dibuat oleh mereka sendiri, seperti siapa yang memaki saudaranya didenda 1 millim (mata wang terkecil Mesir), yang memaki ayahnya didenda 2 millim, memaki ibunya, mencela agama, bertengkar, dan sebagainya. Semua yang bertentangan dengan akhlaq mulia, dikenakan denda. Denda akan dilipatgandakan, sekiranya yang melanggar adalah anggota pimpinan organisasi, yang diketuai oleh al-Banna. Wang hasil denda dimanfaatkan untuk kegiatan sosial.

GERAKAN ANTI MAKSIAT

Tidak puas dengan pertubuhan yang hanya mengendalikan pelajar, al-Banna dan teman-temannya membuat organisasi asosiasi keislaman dengan nama Gerakan Anti Maksiat (GAM) untuk memberi teguran melalui surat kepada sesiapa sahaja yang melakukan maksiat. Masing-masing anggota organisasi mengawasi anggota masyarakat, yang terdiri daripada masyarakat biasa, pedagang, hingga syaikh-syaikh (ulama) sekalipun. Bila ada seseorang yang melakukan kesalahan/dosa (perbuatan yg bertentangan dengan syariat Islam) akan dikirimkan surat peringatan, yang dihantarkan secara diam-diam oleh anggota GAM. Tetapi aktiviti rahsia GAM terbongkar oleh seorang pemilik kafe, yang berjaya menangkap pembawa surat teguran yang berisi peringatan atas kesalahan pemilik kafe yang membawa penari wanita di kafenya.

Ketika berusia 13 tahun, Hasan Al-Banna melanjutkan pelajarannya ke Madrasah al-Muallimin al-Awwaliyah di Damanhur walaupun sebenarnya dia belum memenuhi syarat umur minimum 14 tahun. Hafalan al-Qurannya pun belum 100%, tetapi karena mudir madrasahnya melihat kecerdasan al-Banna, beliau memberi pengecualian. Sejak usia muda ini, Hasan Al-Banna mulai tertarik dengan gerakan sufi yang saat itu marak di Mesir. Selain mengikuti zikir tasawuf, Hasan Al-Banna pun aktif ikut halaqoh yang diadakan oleh syaikh-syaikh pemimpin sufi, terutamanya syeikh-syeikh dari tarikat Hashofiyah. Beliau sangat mengagumi tokoh utama dari tariqat ini, yaitu Syaikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syaikh Hasanain al-Hashafi. Penglibatan al-Banna dalam aktiviti kesufian inilah yang telah membuatkan beliau menyedari betapa perlunya pemupukan sahsiah dan akhlak individu untuk menjadi prasyarat kepada proses pengIslaman masyarakat.

UZLAH

Walaupun Hasan Al-Banna mengikuti gerakan sufi, tapi beliau tidak 100% menyetujui cara hidup orang-orang sufi yang berlebihan, seperti beruzlah (mengasingkan diri) dari kehidupan masyarakat umum, untuk untuk memperolehi kenikmatan beribadah untuk peribadi semata-mata. Al-Banna berpendapat bahwa uzlah adalah perlu sesekali waktu, harus tidak berlebihan, tak boleh melebihi garis syara’,karena uzlah seperti itu merupakan gudang segala kebajikan.

Al-Banna bukan sahaja hafiz al-Quran, malah menghafal 18.000 bait puisi Arab dan juga ribuan matan hadis.


10 wasiat as-Syahid Imam Hassan al-Banna


1- Jika terdengar azan,maka segeralah bangun untuk menunaikan solat berjemaah walaubagaimana sekalipun keadaan seseorang itu.

2- Perbanyakkan bacaan al-Quran,selalu membuka kitab2 untuk menambah ilmu,pergi ke majlis2 Ilmu,perbanyakkan zikrullah dan jangan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah.

3- Berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab yang Fushah kerana Bahasa Arab yang betul (Fushah) adalah lambang(syiar) Islam.

4- Janganlah bertengkar walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana pertengkaranyang kosong tidak mendatangkan apa-apa faedah.

5- Janganlah terlalu banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah sentiasa sahaja akan tenteram dan tenang.

6- Janganlah terlalu banyak bergurau kerana orang islam yang sedang berjuang itu tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh2 dalam setiap perkara.

7- Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

8- Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.

9- Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

10- Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.




:- segala sumber ini hasil dari carian dan pembacaan di buku serta saluran dari blogger lain serta di dalam internet sendiri..sekadar mengambil untuk tatapan bagi menghayati perjuangan Islam..

Wednesday, January 5, 2011

WARISAN BUDAYA (ADAT RESAM)

Pada coretan kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang adat-adat resam yang ada dalam masyarakat melayu yang telah diamalkan semenjak dahulu lagi..sehingga kini kita masih dapat lihat bahawa beberapa adat-adat melayu seperti dinyatakan di bawah masih diamalkan kerana di situ lah terletaknya budaya masyarakat melayu..Pape pun kita sebagai masyarakat melayu beruntung kerana kita dapat memiliki budaya serta adat kita sendiri.. :)

ADAT RESAM

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat tersebut bermula dari dalam perut ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU

Kelahiran

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)

Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.

Peralatan untuk upacara ini termasuk

v Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan

v Segantang beras

v Sebiji kelapa

v Beberapa urat benang mentah
Damar

v Minyak kelapa atau minyak urut

v Lilin

v Tepak sirih yang lengkap isinya

v Pengeras sebanyak RM1.25

Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.

Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.

Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.

Sewaktu Bersalin

Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.

Potong Tali Pusat

Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.

v Azan/Qamat

Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.

v Membelah/Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

v Berpantang

Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.

Tempoh Berpantang

Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan di seluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar, direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.

Bertungku

Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat.

Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.

Selepas lahir

Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.

v Tanggal Pusat/Cuci Lantai

Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

v Nasi kunyit dan lauk-lauk

v Seekor ayam hidup

v Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang

v Hadiah untuk bidan sepersalinan

Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.

Memberi Nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.

Cukur Rambut/ Potong Jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.

Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.

v Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar,beras kunyit dan bertih.

v Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.

j4ambul-gunting

Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi.

Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

Naik Buai

buaian_baby

Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung.

Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

JejakTanah/TurunTanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.

Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.

Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini jug boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.

Bersunat / Berkhatan

Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

Sumber : Perpustakaan Negara Malaysia